Sunday, December 20, 2009

LUNCUR UDARA TARIKAN BARU DI RANAU

Utusan Borneo, ms.11, 3 Mei 2009
JAKARIA DASAN, jakaria@ums.edu.my


Ranau, sebagai salah sebuah daerah pelancongan di negeri ini, bakal menambat lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negeri dengan rasminya pembukaan tapak luncur udara (paragaliding) yang pertama di Sabah pada 9 dan 10 mei 2009. Perasmian yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Ranau ini akan disempurnakan oleh YB Datuk Masidi Manjun, Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar, merangkap ADUN Ranau. Sekian lama, daerah Ranau dikenali di peta dunia dengan anugerah Tuhan yang cukup istimewa iaitu Gunung Kinabalu. Selain itu, Kolam Air Panas dan ‘Canopy Walk’ di Poring, kebun sayur di Kundasang, keindahan sawah padi dan pelbagai lagi destinasi menarik akan tambah mengujahkan dengan rasminya kawasan Bukit Lohan Ulu di Kg Lohan kelak sebagai pusat sukan rekreasi lasak, luncur udara atau paragliding.

Menerusi usaha beberapa orang peluncur udara tempatan untuk mempromosi kawasan ini melalui internet, maka lokasi tersebut telah mula menarik perhatian peluncur-peluncur udara dari Sarawak, Brunei dan Semenanjung Malaysia ke Lohan untuk mencuba tapak luncur udara ini. Pada setiap hujung minggu, Kg. Lohan telah menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk melihat juruterbang paragliding bermain di udara sepanjang hari. Usaha tersebut telah menarik minat Pejabat Daerah Ranau (PDR) untuk menjadikan program luncur udara sebagai sebahagian dari program dalam sambutan Pesta Kaamatan tahun 2009. Justeru, PDR akan menganjurkan pesta luncur udara Kaamatan buat julungkalinya pada 9 dan 10 Mei 2009. Menurut Pegawai Daerah Ranau En. Siriman MF Basir, usaha PDR ini adalah bertujuan menjadikan luncur udara sebagai salah satu daya tarikan pelancong yang baharu dan unik serta menarik.

Jika Gunung Kinabalu berjaya menarik pelancong dari seluruh dunia melalui International Climbathon, Kg. Lohan dilihat boleh memberikan impak yang sama melalui penganjuran pesta luncur udara di peringkat antarabangsa dan inilah yang menjadi sasaran PDR pada masa hadapan. Beliau menekankan yang ’Sonsoluyon 2009’ adalah permulaan kepada langkah tersebut. Ini adalah sesuatu yang amat bermakna buat juruterbang paragliding di Negeri di Bawah Bayu ini, kerana selama ini mereka tidak mempunyai tapak terbang yang rasmi dan khusus sedangkan Sabah amnya dan Ranau khasnya cukup terkenal dengan kawasan tanah tinggi yang memang sesuai dengan aktiviti paragliding.

Langkah ini juga menunjukkan sukan ini mula mendapat perhatian dan sokongan dari pihak berkaitan untuk menjadikan sukan luncur udara sebagai salah satu aktiviti yang berpotensi tinggi untuk dimajukan di negeri Sabah. Justeru, ia memberi dorongan agar Sabah boleh mengikuti jejak perkembangan penggiat paragliding di Semenajung Malaysia yang telah jauh ke hadapan dalam sukan ini dan mempunyai tapak terbang yang dimajukan. Secara langsung sukan ini yang sudah berkembang di Semenanjung Malaysia akan disemarakkan lagi perkembangannya di Sabah. Pembukaan tapak ini secara rasmi kelak akan dapat memajukan lagi Sukan Rekreasi Lasak ini. Adalah tidak mustahil pada suatu hari kelak Sabah bakal menjadi antara pusat luncur udara yang terkenal di dunia. Apatah lagi jika pakej promosi dilakukan secara kelompok iaitu dengan menggabungkan sukan climbathon Gunung Kinabalu dengan sukan Paragliding Lohan.

Bukit Lohan Ulu, Kg. Lohan, Ranau adalah bukit yang juga menempatkan Kompleks Sukan Daerah Ranau yang kini sedang rancak dalam pembinaan. Bagi sukan luncur udara, kompleks bukit ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Kelebihan tersebut dianggap oleh para peluncur udara sebagai sesuatu yang istimewa yang tidak terdapat di tapak luncur udara yang lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Salah satu daripada bukit yang terdapat di sini ialah Bukit Paulian. Bukit ini turut mempunyai pemandangan yang sangat indah. Juruterbang dapat menikmati pemandangan mempersona Kg. Lohan di kaki bukit, hamparan sawah padi dan aliran sungai. Lebih menarik lagi, puncak berbatu Gunung Kinabalu juga dapat dilihat dari sini. Selain itu, para peluncur udara juga mempunyai beberapa lokasi tempat berlepas. Terdapat tiga tempat berlepas sedia ada, manakala beberapa lokasi lain telah dikenalpasti dan sedang diusahakan termasuk di puncak bekas lombong tembaga Mamut iaitu pada ketinggian hampir 3000 kaki dari aras zon pendaratan. Faktor ini membolehkan juruterbang benar-benar menikmati keseronokan sewaktu meluncur di udara menyaksikan persekitaran yang indah.

Kedudukan Ranau yang terletak pada ketinggian 1500 kaki dari aras laut dan berhampiran dengan puncak Gunung Kinabalu membolehkan ianya memiliki keadaan angin yang amat sesuai untuk meluncur di udara. Pada waktu-waktu tertentu, juruterbang boleh meluncur di udara sehingga dua jam lamanya. Ada yang mampu naik sehingga mencecah awan. Sesungguhnya pengalaman sedemikian merupakan cabaran yang diinginkan oleh peluncur mahir.

Keadaan jalan menuju ke tempat berlepas yang baik serta kawasan yang cukup luas untuk latihan terutama bagi juruterbang-juruterbang baru turut memberi kelebihan kepada tempat ini. Semua faktor ini menjadikan Kg. Lohan benar-benar menyediakan pakej yang hampir sempurna bagi sukan rekreasi lasak ini berkembang maju. Lokasi paragliding di Kg. Lohan sebenarnya mula dijumpai oleh seorang peluncur udara tempatan iaitu Jesteni Salim. Beliau yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Ranau mula meneroka tempat tersebut dan dengan dua orang lagi peluncur udara iatiu Kapten Haznain Ngamil dari UMS, Kota Kinabalu dan Asmawi Hassan dari Sandakan. Merekalah yang bertanggungjawab mempromosi Kg Lohan sebagai pusat luncur udara yang berpotensi besar. Sesungguhnya usaha mereka tidaklah sia-sia bila ianya mendapat perhatian PDR.

Dalam pesta ini, pihak penganjur juga akan memasukkan program penerbangan pesawat kawalan jauh. Orang ramai yang hadir di Kg.Lohan ini nanti juga akan dapat melihat pesawat berlegar di udara selain payung paragliding. Justeru, pihak penganjur juga menjemput pengendali pesawat kawalan jauh untuk turut serta dalam pesta luncur udara ini. Paragliding adalah diilhamkan berasaskan kepada burung helang. Sonsoluyon pula dalam bahasa Dusun bermaksud burung layang-layang seperti yang digambarkan dalam tarian Sumazau yang terbang bebas dan megah di ruang udara. Ia amat sinonim dengan masyarakat tempatan. Justeru, ia telah dipilih sebagai moto pesta luncur udara ini.

Sukan Luncur udara atau paragliding belum begitu popular di Sabah. Tinjauan mendapati, jumlah peluncur udara sedia ada baru mencecah 15 orang. Hal in mungkin disebabkan kurangnya pendedahan mengenai sukan ini serta keraguan akan risiko tinggi selain ianya dianggap sukan mewah kerana memerlukan kos yang tinggi dan hanya untuk golongan tertentu sahaja. ”Sebenarnya sukan ini adalah selamat sekiranya mengikuti langkah dan melalui proses latihan yang betul. Semua golongan boleh mencuba dan merasai kehebatannya.” Ujar Kapten Haznain.

Di Semenanjung Malaysia, sukan paragliding adalah tidak asing lagi. Terdapat beberapa lokasi paragliding yang rasmi seperti Bukit Jugra di Banting yang menjadi sirkit paragliding dunia, Gunung Ledang, Bukit Chendering di Terengganu, Bahau dan Bukit Sendayan di Negeri Sembilan serta beberapa di negeri-ngeri lain. ”Pelancaran Bukit Lohan Ulu sebagai tapak penerbangan paragliding yang rasmi diharap dapat menggalakkan lagi sukan ini di kalangan rakyat Sabah dan memperkenalkan lagi Sabah sebagai destinasi baru peluncur dari dalam dan luar negara.” Ulas lanjut Kapten Haznain Ngamil. Kapten Haznain adalah merupakan Ketua Bahagian Keselamatan Universiti Malaysia Sabah dan merupakan antara penggiat aktif mempromosi sukan rekreasi lasak ini. Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti sukan luncur udara ini bolehlah menghubungi beliau di talian 0198608700.

No comments:

Post a Comment